Wednesday, May 9, 2012

Mensyukuri Nikmat Penglihatan

(Sumber: Google)


Manusia dianugerahkan dengan sepasang mata yang cantik berfungsi untuk memberi visual kepada tuannya. Sepasang mata itu berkerja bersama-sama untuk menghasilkan satu imej yang kita lihat di dalam otak kita. Tapi berapa ramai yang mensyukuri nikmat mata ini? Berapa ramai apabila melihat keindahan ciptaan tuhan, Allah SWT  kemudiannya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Semoga kita digolongkan didalam golongan yang mensyukuri nikmat penglihatan.

            Setiap hari kita menganalisa maklumat di dunia ini majoritinya melalui penglihatan. Dari berjalan, membaca, memandu, makan dan sehinggalah benda-benda kecil yang lain semuanya memerlukan penglihatan. Cuba bayangkan andai nikmat yang kita dapat ini ditarik balik oleh Allah. Allahuakbar. Apa yang kita akan lakukan. Tiada lagi dapat memandu kereta mewah. Tiada lagi dapat membaca dengan penglihatan. Tiada lagi dapat menikmati keindahan matahari terbit mahupun terbenam. Bersyukurlah sekurang-kurangnya kita masih diberi kesempatan menikmati semua keindahan-keindahan alam ciptaan tuhan.

            Kendatipun, masih ada manusia-manusia yang kufur dengan nikmat-NYA. Dengan nikmat penglihatan, mereka merosakkan muka bumi. Dengan nikmat penglihatan, mereka sewenang-wenangnya melakukan maksiat. Dan dengan nikmat penglihatan, mereka masih lagi sukar untuk melakukan arahan dan suruhan Allah SWT. Sungguh rugi bukan.

Tengoklah saudara-saudara kita diluar sana yang kurang bernasib baik seperti kita. Mereka tidak dapat melihat dunia ini tapi mereka masih lagi bersyukur malah lebih bersyukur daripada kita. Tidak malukah kita kepada mereka dan kepada Allah terutamanya.

Ayuhlah sama-sama bersyukur dengan nikmat penglihatan yang dikurniakan ini. Dengan kehendak-NYA, bila-bila masa saja DIA boleh tarik nikmat ini. Sesungguhnya DIA YANG MAHA BERKUASA DAN YANG MAHA BESAR.

Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH SWT. 

Tuesday, April 17, 2012

Realiti Kita




“Face the reality man. Be practical.” Mereka berkata.

Reality? Practical?

Apa realiti?  Berdepan dengan realiti bahawa manusia semakin hilang sifat kemanusiaan? Berdepan realiti bahawa semakin ramai manusia menjadi benda? Kehulu kehilir dengan mengejar sesuatu yang tidak pasti. Itu realiti?

Kalau begitu, nyata kondisi dan persepsi kita jauh bebeza. Seolah-olah kita masih berada di jalan yang sama. Jalan bersih. Jalan luas. Jalan yang sibuk. Tapi haluan kita berbeza. Kau ke Utara dan aku bergerak ke Selatan. Mungkin suatu masa kita masih lagi berada sebelah menyebelah, tapi dengan peredaran masa yang tak menunggu manusia, lama-lama kita akan semakin menjauh. Hanya sebab persepsi sahaja yang berbeza. Rugi. Sangat rugi.

Dan sangat lucu bila mereka membicarakan isu realiti.

Dan aku tak habis-habis bercanda isu realiti kepada mereka.

“Pak. Anak bangsa kita dah terkebelakang pak. Itu realiti pak. Pak. Anak bangsa kita hanyut dengan hiburan dunia pak. Itu realiti. Tengok saja di kota-kota metropolitan pak. Seks. Dadah. Homo. Lesbian. Jilat menjilat. Gomol bergomol. Bunuhan. Anak dibuang. Rempit yang menunggu masa nak mampus. Setan. Iblis. Jin. Semua hanya menunggu ajal pak. Itu realiti. Itu anak-anak kita. Tak cukup?”

Heh. Heh.

“Cuba bilang berapa kerat anak kita menjadi jutawan? Dua puluh? Tiga puluh? Empat puluh? Ribu? Ratus? Kira pak. Itu realiti.”

Mahu lagi. Heh.

“Realiti sebenarnya orang kita pemalas pak. Pemalas. Nak belajar malas. Nak kerja malas. Nak berusaha malas. Tapi bab makan hendak. Bab goyang kaki hendak. Bab duit hendak. Orang bagi, ambik. Orang hulur, sentap. Orang sudu, ngap. Tapi bila tak dapat, marah. Memberontak. Kata ini tidak adil. Itu tidak adil. Mereka tipu. Mereka dusta. Tapi tak pernah mereka nak berusaha. Tak pernah. Sekonyong-konyong sahaja mereka mahu senang pak. Itu realiti.”


Dan mereka ditinggalkan dengan seribu kebenaran dan persoalan. Kopi yang terbentang masih hitam dan kelam. Cuma sudah hilang kehangatan.

Ironi. Sungguh ironi.



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Sunday, March 25, 2012

Jalan kehidupan


          Miki berjalan perlahan. Fikirannya melayang tinggi jauh ke angkasa biru. Orang kiri kanan tidak dipedulikan. Miki hanya mahu sampai kebilik dan terjun diatas katil empuk. Kehijauan kampus tidak lagi mengasyikkan. Telinga pula bingit dengan suara-suara liar. Nyata semester baru tidak memberi apa-apa keterujaan kepada Miki. Kosong.

Mungkin secara fizikal Miki nampak sihat walafiat. Kalau setakat padang bola besar, sepuluh kali pusing bukan apa-apa. Kalau setakat hutan belukar, diredah biasa-biasa saja. Tapi Miki sebenarnya sakit. Terlalu sakit. Cuma sakitnya dipendam. Sakitnya orang lain tak nampak. Miki fikir biarlah dia sakit seorang.

Miki terkedang di atas katil merenungi siling kosong. Seolah-olah siling itu ghaib dan tembus ke angkasa raya. Fikirannya menerawang jauh. Kadangkala singgah ke rumah. Kadangkala singgah ke sekolah. Dan kadangkala singgah ke lautan luas. Jauh. Jauh dari orang ramai. Sebab jauh itu kadang-kadang dapat kebahkah sekurang-kurangnya sedikit sakit Miki.

Miki mengelamun lagi. Kali ini lebih serius. Kotak fikirannya melontar soalan demi soalan seperti mesingan memuntahkan peluru bertubi-tubi. Miki sakit.

“Apa tujuan kau hidup Miki?”

“Kau buat apa kat sini Miki?”

“Apa fungsi kau kat sini Miki?”

“Kenapa kau nak ikut cakap mereka Miki?”

“Miki. Kenapa kau jadi pak turut hah?”

“Miki...!”

“Miki...!”

“Miki...!”

Miki sakit. Terlalu banyak yang tersumbat dibenak Miki sehingga tidak dapat diluahkan.

Pintu bilik terbuka dan muka Zudi terpamer. Bibirnya memokah senyum. Zudi masuk dan duduk di katil sebelah.

“Kemana kita selepas ini?” Zudi melontarkan soalan.

Miki diam. Soalan Zudi seakan kabur. Apa maksud Zudi? Kemana selepas apa. Sudah maklum tujuan kita berada disini. Sesudah degree diuruskan semua. Kerja. Makan gaji. Kahwin. Taat setia. Pencen. Ada tertibnya. Atau mungkin Zudi bermaksud tentang selepas kehidupan. Selepas kehidupan yang tinggal hanyalah kematian. Dan selepas kematian akan ada pula orang lain yang menggantikan kehidupan. Begitulah dunia bersilih ganti. Generasi demi generasi. Sehinggalah ke hari pengahkirannya. Tiada pilihan lain. Dan akhiratlah kita sama-sama akan pergi selepas ini.

“Maksud kau selepas itu selepas apa?”

“Maksudku selepas ini, ketika ini, kemana kita? Makan? Berjalan-jalan? Atau terus terkedang macam gitu?

“Entah.”  Ringkas.

Dan Miki terus hanyut merenung siling dibuai fantasi. Soalan itu masih berlegar-legar di benak minda.

“Kemana aku selepas ini?”

Saturday, March 24, 2012

Destinasi




            Dalam perjalanan untuk berjumpa tuhan, kita manusia akan menempuhi berbagai rintangan mahupun cabaran. Tidak kiralah cabaran itu datang daripada luaran mahupun dalaman yakni daripada musuh-musuh islam dan nafsu diri sendiri. Semua manusia tidak akan dapat lari dari kedua-dua ancaman ini yang semakin hari semakin tenat.

Dalam menempuh perjalanan yang jauh ini juga, kita akan tempuh beberapa destinasi-destinasi menarik sebelum betul-betul sampai ke perhentian terakhir. Alam belajar. Alam pekerjaan. Alam berumah tangga. Alam ibu bapa. Semua perhentian-perhentian ini memang akan ditempuhi oleh manusia walaupun ada kurang dan lebihnya. Tetapi adakah perhentian-perhentian yang kita tempuhi ini adalah satu perhentian yang memudahkan kita ataupun menyukarkan perjalanan ke perhentian terakhir.

Benar. Manusia kadang-kadang terpesong haluan daripada jalan yang betul. Kadang-kadang juga tergelincir. Sebab itulah manusia tidak boleh hidup berseorangan. Manusia perlukan orang yang boleh menegur yang mereka sudah jauh terpesong. Manusia perlukan orang yang menunjukkan jalan yang betul andai tergelincir dari landasan asal. Manusia juga perlukan orang yang boleh membimbing mereka ke perhentian yang terakhir. Sebab itulah manusia perlu saling tegur-menegur, saling bantu-membantu, saling nasihat menasihati dan saling belajar antara satu sama lain.

Tapi manusia kadang-kadang terlalu pentingkan diri sendiri. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih maju daripada mereka. Manusia takut. Manusia lebih suka bangsa mereka terkebelakang asalkan diri mereka sendiri maju terkehadapan. Mereka begitu.

Ayuh. Ayuh kita ubah mentaliti. Ayuh kita saling bantu membantu anatara satu sama lain. Perjalanan kita semua masih jauh. Kalau kita berjalan, biarlah kita berjalan sama-sama. Kalau kita berlari, biarlah kita berlari sama-sama. Dan walaupun kita merangkak sekalipun, biarlah kita merangkak sama-sama. Sebab kita punyai perhentian terkahir yang sama. 



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Friday, March 9, 2012

Abah dan Pohon Manggis



“Abah. Abah. Kita nak tanam apa abah?”

“Kita nak tanam pokok manggis Mat. Nanti Mat besar kita boleh makan buah manggis ramai-ramai sekeluarga atas para tu.” Abah balas sambil menjuih mulut ke para-para di bawah pohon rambutan rendang. Para-para itulah abah duduk petang-petang sambil menghembus kereteknya. Puas dah kami adik beradik tegur abah tentang gaya hidupnya, tapi abah cakap tak apa. Tak apa. Lama-lama kami pun tak apa. Tak apa.

“Abah. Abah. Pokok manggis ni Mat nak boleh abah.”

“Ni memang pokok manggis Mat. Nanti Mat jaga elok-elok yer. Siram elok-elok. Baja elok-elok. Perati elok-elok. Lebih baik letak hadangan. Babi kerap jugak masuk kebun ni. Gali ubi kayu. Nanti-nanti jangan pokok manggis ni pun disodoknya. Mat jaga Mat. Jaga.”

Keesokan pokok manggis disiram. Tulat disiram. Tubin disiram. Sebulan diletak baja. Mat hairan. Kenapa pokok manggis tak besar-besar. Kenapa. Abah tipu. Abah tipu. Abah cakap jaga. Siram. Baja. Nanti pokok manggis keluar buah. Nanti boleh makan sama-sama atas para. Abah tipu. Kenapa.

Petang abah balik kerja. Mat tahu abah penat. Abah penat. Tapi Mat tak kisah. Mat nak tahu kenapa pokok manggis Mat masih tak berbuah. Abah diterpa. Keras.

“Abah. Kenapa pokok manggis Mat masih tak berbuah abah. Kenapa abah tipu Mat?” Abah senyap. Mat lari masuk bilik. Mat menangis sebab sudah sebulan pokok manggis masih tak berbuah.

Malam sesudah Maghrib abah memanggil Mat. Abah baru selesai solat. Mat nampak urat-urat tua di dahi abah sudah makin nyata. Mat nampak mata abah sudah makin terpejam. Tapi Mat masih tak mengerti. Mat masih sibuk dengan pokok manggisnya.

“Mat. Mat nak tahu tak kenapa pokok manggis Mat masih tak berbuah?”

Mat tak menjawab.

“Sebab pokok manggis Mat baru sekolah rendah. Dia tak pandai berbuah lagi Mat.”

“Tapi pokok mana pandai sekolah abah.”

“Pokok ni sama macam manusia jugak Mat. Sama macam Mat. Kita kena belai dia. Bagi dia makan. Bagi dia minum. Bagi dia vitamin. Kemudian masukkan dia kesekolah. Biar dia pandai. Memang kita rasa letih nak jaga dia. Sangat letih. Sama juga macam abah jaga Mat. Abah bagi Mat makan. Bagi minum. Hantar Mat kesekolah. Sediakan Mat dengan pakaian. Mat nak mainan abah belikan. Mat nak buku abah belikan. Nanti bila Mat dah besar Mat masuk Universiti. Dan bila Mat dah kerja, giliran Mat pula jaga Abah dan Ma. Dan begitu juga pokok manggis Mat. Bila dia dah besar. Bila dia dah pandai berbuah. Dia akan jaga Mat. Dia bagi Mat hasil dia. Dia bagi Mat buah manggis. Dia bagi keluarga Mat buah manggis.”

“Tapi bila pokok manggis tu nak berbuah abah.” Mat masih tak mengerti. Apa yang Mat tahu dan mahu hanya buah manggis. Manggis.

Dan setahun. Dua tahun. Tiga tahun. Bertahun-tahun. Mat makin besar. Pokok manggis makin besar. Pokok manggis dah mula belajar berbuah. Mat menjejak kaki ke Universiti. Dan setahun. Dua tahun. Tiga tahun. Bertahun-tahun.

Dan hari ini, pokok manggis sudah berbuah lebat. Lebat.

Tapi abah sudah tiada untuk duduk sama-sama atas para. Abah sudah tiada untuk menghembus kereteknya petang-petang. Abah sudah pergi. Abah tipu. Abah cakap nanti bila pokok manggis berbuah, kita boleh duduk sekeluarga atas para makan buah.

Dan buat sekelian kali, Mat masih berharap Mat dapat jaga pokok manggis ke akhir hayat. Biarlah pokok manggis Mat tak berbuah. Mat sudah tak kisah. Mat dah tak mahu buah manggis. Mat tak mahu. Tak mahu. Sekarang. Mat hanya mahu abah.


“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.”- Surah Al-Imran, ayat 185.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...