Ramai juga yang masih tidak tahu samada mata mereka sesuai ataupun tidak untuk memakai kanta sentuh. Ini kerana bukan semua orang mempunyai kesihatan mata yang ideal untuk pemakaian kanta sentuh itu sendiri. Ramai yang membeli dan memakainya tanpa melakukan pemeriksaan terlebih dahulu.
Tetapi pada entri kali ini akan diterangkan tentang tiga golongan yang dilarang untuk memakai kanta sentuh. Sebenarnya lebih kepada golongan yang "tidak sesuai" untuk memakai kanta sentuh. Bukannya dilarang sepenuhnya. Kerana golongan ini masih boleh diberi nasihat dan kaunseling untuk memperbaiki keadaan mereka.
Golongan pengotor.
Untuk pengetahuan, aspek kebersihan merupakan suatu aspek yang sangat penting di dalam pemakaian dan penjagaan kanta sentuh. Jika aspek ini sudah gagal, mungkin anda bukan merupakan pemakai kanta sentuh yang sesuai. Pemakaian kanta sentuh memerlukan regim penjagaan yang rapi dan teratur. Bermula daripada penjagaan kanta sentuh, penjagaan larutan kanta sentuh, penjagaan bekas simpanan kanta sentuh sehinggalah penjagaan kebersihan mata itu sendiri. Semuanya perlu dititik-beratkan. Jangan sesekali mengambil ringan dengan perkara-perkara ini semua kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan boleh menyebabkan mata mendapat infeksi mahupun inflamasi daripada bakteria-bakteria mahupun virus. Jadi sebelum anda ingin memakai kanta sentuh, tanya soalan ini kepada diri anda sendiri:
"Bersediakah aku dengan komitmen penjagaan kanta sentuh dan kebersihan mata aku? "
Golongan kedekut.
Golongan ini juga merupakan golongan yang perlu diberi perhatian di dalam pemberian pemakaian kanta sentuh. Untuk pengetahuan, pemakain kanta sentuh memerlukan anda mengeluarkan kos dari segi penjagaan dan larutan kanta sentuh itu sendiri. Dan untuk pengetahuan juga, larutan penjagaan kanta sentuh biasanya hanya boleh digunakan selama sebulan setelah anda membuka botol larutan tersebut. Selepas sebulan, tidak kiralah kandungannya masih banyak ataupun sedikit, ianya perlu dibuang dan digantikan dengan larutan penjagaan yang baru. Begitu juga dengan kanta sentuh itu sendiri, ianya perlu dibuang dan ditukar mengikut tempoh pemakaian yang ditetapkan walaupun kanta sentuh itu masih kelihatan seperti baru. Ini disebabkan kemungkinan larutan dan kanta sentuh yang telah tamat tempoh telah dijangkiti dengan bakteria ataupun bahan kimia di dalam larutan sudah berubah sifatnya.
Masalah bagi golongan kedekut ini, mereka tidak menukar larutan dan kanta sentuh mereka seperti yang telah ditetapkan. Ini boleh meningkatkan risiko mata untuk mendapat infeksi. Lebih teruk, mereka sudah tidak boleh memakai kanta sentuh untuk selama-lamanya kerana sifat kedekut yang akhirnya memakan diri sendiri. Jadi, tanya juga dengan diri anda sebelum membuat keputusan untuk memakai kanta sentuh dengan soalan ini:
"Bersedia dan mampukah aku untuk mengeluarkan kos untuk penjagaan kanta sentuh?
Golongan pemalas.
Perkataan 'malas' seharusnya tidak ada dalam kamus hidup pemakai kanta sentuh secara khususnya dan di dalam hidup semua orang secara am-nya. Penjagaan kanta sentuh memerlukan komitmen, disiplin dan kos tidak kira samada kos wang ringgit, masa mahupun tenaga daripada si pemakainya.
Penjagaan kanta sentuh itu sendiri memerlukan anda membasuh, merendam, dan menyah-kuman dan semua ini perlu dilakukan mengikut regim yang telah ditetapkan. Jika anda seorang yang pemalas, mungkin kaca mata merupakan alat bantu penglihatan yang sesuai untuk anda.
Kesimpulan.
Pemakaian kanta sentuh sebenarnya bukan seringkas yang anda sangkakan. Pemakaian kanta sentuh lebih rumit dan kompleks berbanding dengan pemakaian kaca mata. Kanta sentuh memerlukan komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada si pemakai. Jika kedua-dua elemen ini tidak dapat dipenuhi, mungkin anda bukan pemakai kanta sentuh yang kompeten. Fikir-fikirkanlah.


0 kekomen(s):
Post a Comment